Monday, April 27, 2009

Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka

ALLAH memerintahkan kita berbakti kepada kedua orang tua dan berbuat baik terhadap anak serta bersungguh dalam mendidik mereka kerana perbuatan itu termasuk sebahagian daripada menunaikan amanah Allah.

Melalaikan hak ibu bapa dan anak termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya." (Surah an-Nisa, ayat 58)


Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu ia mati (sedangkan pada) hari kematiannya dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya." (Hadis riwayat Bukhari)

Meskipun ibu bapa mengetahui mendidik anak adalah tanggungjawab besar, masih ramai yang lalai dan menganggap remeh perkara itu. Kemudian, apabila anak derhaka, melawan orang tua atau menyimpang daripada aturan agama baru mereka menyalahkan anak.

Sedihnya, ramai tidak sedar sebenarnya ibu bapa juga menjadi penyebab utama sikap derhaka. Ada kelalaian atau kesilapan dalam mendidik anak yang tanpa disedari memberi saham kepada munculnya kenakalan remaja serta sikap durhaka kepada orang tua antaranya:

Menumbuhkan rasa takut pada anak ketika mereka menangis dengan harapan berhenti dengan gambaran hantu, jin atau suara angin. Akibatnya, anak menjadi penakut seperti takut kepada bayang sendiri dan takut pada sesuatu yang sebenarnya tidak perlu ditakuti.
Contohnya, takut ke bilik mandi dan tidur sendiri kerana mendengar cerita hantu, jin. Ibu bapa tidak sepatutnya menakutkan anak.


- Insya-Allah, setakat hari ini ummi memang pegang pada prinsip tak suka takutkan kanak-kanak dengan benda yang bukan-bukan. Malah untuk Khaira, ummi tak pernah keluarkan perkataan "takut". Tapi entah kenapa Khaira dah pandai menggunakan perkataan takut. Mungkin sebab Khaira bukan di jaga oleh ummi seorang. Ada satu masa Khaira asyik sebut "takut cicak" sehinggakan setiap kali Khaira nak bergerak dari luar ke dalam bilik atau dari dalam bilik ke luar, mesti berteman. Reason yang diberi takut cicak. Ummi selalu marah bila Khaira kata "takut cicak", alhamdulillah lepas sebulan, Khaira dah tak takut cicak lagi. Now dia dah bebas bergerak ke sana ke mari even dalam gelap tanpa perasaan takut.
- Bila Khaira menangis tak henti2 atau tanpa sebab memang geram. Perkara ni jarang berlaku tapi once Khaira menangis memang susah nak berhenti. Kalau tak sabar, memang dah lama takutkan dia dengan apa-apa supaya berhenti menangis. Tapi ummi kena sabar. Ummi just mention, kat luar dark..tak elok menangis malam2 ataupun ummi akan start bercerita perkara-perkara yang boleh menarik perhatian dia eg : her daily life..Kalau Khaira menangis jugak instead of pujuk dengan macam2 benda..at last ummi biarkan je

Mendidik anak menjadi sombong dengan niat supaya mereka menjadi berani. Berani tidak harus dengan bersikap sombong atau bongkak kepada orang lain.

Membiasakan anak hidup berfoya-foya dan bermewah kerana yang mendorong mereka suka bersenang-senang, mementingkan diri dan tidak peduli keadaan orang lain. Mendidik anak seperti ini merosak fitrah, membunuh sikap bersederhana dan bersyukur.

Selalu memenuhi permintaan anak kerana ada ibu bapa yang sedaya upaya menunaikan semua kehendak anak mereka. Sedangkan, tidak setiap yang diinginkan anak itu bermanfaat atau sesuai dengan usia serta keperluannya.

Jika anak biasa dipenuhi segala permintaannya, mereka tumbuh menjadi anak yang tidak peduli nilai wang dan kesusahan mencari rezeki. Mereka juga tidak tahu membelanjakan wang dengan baik.

- ummi harap ummi ada kekuatan untuk mengajar Khaira erti kesusahan. Kekadang ummi risau sebab ummi jenis yang selalu turutkan kehendak Khaira.



Mengalah dengan anak semata-mata tidak tahan mendengar tangisan mereka juga perlu difikirkan semula ibu bapa. Memang memberi apa diminta akan menghentikan tangisan tetapi ia menggalakkan sifat mengugut dengan menggunakan tangisan sebagai senjata.

Terlalu berkeras juga tidak baik seperti memukul atau memarahi dengan suara tinggi. Ada ibu bapa menggunakan bahasa kasar ketika memarahi anak dan ada kalanya sikap itu menyebabkan anak kecil hati dan ada yang menyimpan dendam kerana tidak suka dimarah atau ditengking.

Ada juga ibu bapa yang kedekut sehingga anak berasa tidak disayangi apabila permintaan atau keperluan tidak dipenuhi. Jangan terkejut jika disebabkan sikap kedekut ibu bapa, anak mula mencuri demi memenuhi keinginan mereka.

Tidak memberi perhatian serta kasih sayang menyebabkan mereka mencari kasih sayang di luar rumah. Keadaan ini banyak terjadi dan menyebabkan anak terjerumus dalam pergaulan bebas. Anak yang tidak mendapat perhatian keluarga senang berpaling kepada rakan sebaya.

Jika tersalah pilih kawan, mereka akan rosak. Justeru, ibu bapa perlu mengambil perhatian mengenai pemilihan rakan anak takut memberi pengaruh negatif dan paling penting memberi kasih sayang secukupnya bagi membina keluarga bahagia.

Ada juga ibu bapa yang terlalu menumpukan keperluan material anak sehingga terlupa kepentingan rohani sedangkan yang penting bagi memastikan pembinaan sahsiah seimbang dari aspek keperluan duniawi dan ukhrawi.

Ibu bapa perlu ada rasa syak wasangka terhadap anak tetapi perasaan itu biar bertempat serta berasas kerana ada ibu bapa terpedaya dengan kebaikan anak hingga tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka terbabit dengan aktiviti tidak baik.

Ibu bapa yang sangat percaya kepada anak tetapi tiba-tiba mendapati anaknya terbabit dadah, pasti akan terkejut dan tertanya-tanya kenapa perkara itu boleh berlaku. Berwaspada lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.

Itu antara kesalahan dilakukan ibu bapa sama ada antara sedar atau tidak. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab meningkatkan pengetahuan dengan ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik anak serta melayari kehidupan keluarga yang dipenuhi kasih sayang.

Petikan dari Berita Harian 27 April 2009

No comments: